Saya Sudah Tak Tahan Nak Bersalin Ni!

Jika diberi pilihan sama ada bersalin di hospital kerajaan atau hospital swasta, pastinya ramai yang memilih untuk bersalin di hospital swasta. Berpadanan dengan kosnya, pastinya servisnya pun tiptop. Itulah yang diharapkan.

Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk merasai pengalaman bersalin di dua-dua hospital. Baik hospital kerajaan mahupun hospital swasta. Farihah dilahirkan di Hospital Kuala Terengganu. Nasri dan Muqri pula dilahirkan di Hospital Manjung, Perak. Untuk anak ke-4, Fikri, saya selamat bersalin di hospital swasta di Shah Alam. Saya ingin berkongsi pengalaman saya melahirkan Fikri. Pengalaman pertama bersalin di hospital swasta dan pengalaman pertama suami ada disisi saat melahirkan anak.

*******************************
Saya mula terasa kontraksi pada sebelah pagi dan terdapat sedikit pendarahan keluar. Tanpa membuang masa, saya pun terus ke hospital. Setelah diperiksa oleh doktor, saya diminta pulang ke rumah dahulu kerana saya tidak terasa sakit lagi dan jalan pun belum terbuka. Jika dihospital kerajaan dah sah-sah saya akan ditahan di wad. Memandangkan hospital swasta, mungkin disebabkan kos, saya disuruh balik berehat dirumah dahulu dan datang semula jika terasa sakit semakin kuat.

Balik dari hospital, saya mengemas rumah yang bersepah kerana kami buat rumah terbuka sehari sebelumnya. Tujuan saya untuk mempercepatkan proses kelahiran. Di sebelah petang, saya dah mula rasa sakit dan malamnya selepas maghrib, saya ke hospital semula.

Saya maklumkan pada nurse yang saya nak dapatkan doktor perempuan semasa proses bersalin. Disebabkan malam itu hanya doktor lelaki yang bertugas, saya perlu menambah bayaran RM500 untuk dapatkan doktor perempuan. Memang silap saya sebab tak booking doktor awal-awal.

Dek kerana pesakit yang ramai, saya terpaksa menunggu doktor sehingga pukul 9 malam dimana hospital telah ditutup untuk rawatan (Hanya dibuka untuk kecemasan sahaja). Setelah doktor membuat pemeriksaan, bukaan jalan baru 3cm, so doktor suruh saya berehat di wad dahulu. "Rumah saya dekat je dari sini. Kalau sakit bagitau, saya akan datang". Teringat-ingat pesanan doktor. Dalam hati, " Sempat ke nak datang? "

Di wad saya dicucuk untuk masukkan air. Biasanya kita selalu tidak berpuas hati dengan hospital kerajaan kerana banyak doktor pelatih yang kurang berpengalaman. Ternyata di hospital swasta pun saya ditemukan dengan bukan doktor tetapi nurse pelatih. " Cucuk kat sini", sambil dibimbing oleh seorang lagi nurse yang lebih berpengalaman. Pengalaman saya yang lebih dari 10 kali dicucuk (semuanya di hospital kerajaan), ini la kali pertama nurse tersilap cucuk. Akibatnya tangan saya bengkak dan sakit tak payah nak kata la. Yang paling tak bestnya nurse pelatih tu boleh salahkan saya! So tangan kiri pula menjadi mangsa cucuk. Kali ni nurse terlatih yang menyucuk.

Nurse pesan, kalau rasa sakit kuat dan rasa seperti nak berak baru panggil doktor. Saya tanya sempat ke? Pengalaman saya sebelum ni, kalau terasa sakit nak meneran, tak boleh nak tahan dah. Teran, terus je keluar baby. Jawapan yang sama saya dapat dari nurse, " Rumah doktor dekat je. Sempat!" Saya agak tidak berpuas hati dengan jawapan tu.

Lebih kurang pukul 2 pagi, saya terasa sakit dah semakin kuat, setiap 5 minit. Saya panggilkan nurse minta panggilkan doktor. Saya tidak mahu menunggu sehingga sakit nak beranak baru panggilkan doktor. Dengan muka ketat (rasa kat hospital kerajaan pun tak pernah jumpa yang camtu, pengalaman saya la), nurse pelatih datang check jalan. Nampak kekok cara dia periksa. "Baru 5cm. Tak sakit kuat lagi ni" Biar betul baru 5cm sebab saya agak mungkin dah 7cm sebab sakit dah kuat. Ai, siapa yang sakit ni? Hatipun dah mula berangin. Nurse pun berlalu.

Masuk pukul 2 setengah, terasa sakit semakin kuat. Saya panggil lagi nurse bertanyakan doktor dah sampai ke belum. Jawab nurse, "doktor pesan kalau sakit kuat dan rasa nak meneran baru call doktor". Nak marah pun ada juga. Ingatkan bila dah booking, doktor tu akan tunggu di hospital. Sebab dibayarkan. Paling tidak pun masukkan saya ke labour room dulu. Apa-apa pun boleh terjadi. Pengalaman saya sebelum ini (di hospital kerajaan), jalan buka 4cm je, terus dimasukkan ke labour room.

Hampir pukul 3 pagi, Saya mula rasa nak beranak. Panggil nurse lagi. Nurse pelatih dengan muka ketat masuk. Dia rasa perut saya untuk check kontraksi. Kebetulan masa dia periksa, saya baru lepas lega dari kontraksi, dan tiada kontraksi semasa dia periksa. Sekejap je pun dia periksa. Tahu apa katanya, "Belum lagi ni, tak sakit kuat lagi". "Ya Allah, saya dah rasa nak meneran ni". Jawab saya. Boleh nurse pelatih tu keluar dan masuk bilik wad balik membawa mesin untuk check jantung baby tapi tak check pun. SAYA DAH NAK BERANAK NI! Tanpa pedulikan apa saya cakap, boleh pula dia nak tunggu air yang dimasukkan ke tangan saya tu habis dulu. Memang la air dah tinggal sikit saja lagi tapi baby dah nak keluar.

Nasib baik suami ada disisi. Suami la penenang saya. "Kalau rasa nak teran, teran je kat sini. Takpa abang ada" kata suami. Baru la datang lagi seorang nurse terlatih bawakan kerusi roda untuk ke labour room. Memang kecoh sangat masa tu. Nak ke labour room pula kena naik lif. Masa tu hanya tuhan saja tahu sakit menahan dari meneran. Bayangkan kalau sakit perut nak membuang tapi ditahan apa rasanya. Ikutkan hati rasa nak je teran terus. Sabar je la. Teringatkan masa di hospital kerajaan, bila cakap je rasa nak meneran, terus nurse-nurse akan datang bersiap sedia untuk sambut baby.

Sampai di bilik bersalin, dah siap baring, boleh pula nurse buat tak tahu saja. Masing-masing buat hal sendiri. Ai takkan nurse ni nak tunggu doktor juga datang sambut baby. Saya cakap lagi sekali yang saya nak teran ni! dengan harapan nurse datang pada saya untuk sambut baby. Suami yang setia di sebelah suruh saya teran saja, tak payah tunggu doktor. Bila saya mula meneran baru la kedua-duanya datang pada saya. Terus keluar baby sekali teran. Alhamdulillah, suami pun selamat potongkan tali pusat baby.


Doktor? Lebih kurang 15 minit selepas bersalin baru doktor sampai! "Cepatnya awak bersalin". Itu je yang terkeluar dari mulutnya. Doktor siapkan jahit luka saya dan terus balik rumah balik tidur. Saya mengalami bleeding yang agak banyak. Nurse yang keluarkan darah beku. Oleh kerana darah masih lagi keluar, nurse biarkan saya di bilik bersalin lebih kurang 1 jam dengan tidak selimutkan saya. Masa tu nurse belum bersihkan saya.

Terasa pantasnya proses pembersihan selepas bersalin di hospital kerajaan. Ini bukan kali pertama saya mengalami bleeding yang agak banyak selepas bersalin. Mungkin di hospital kerajaan, mereka perlu siapkan katil untuk ibu yang lain pula. Nurse akan buatkan semuanya. Disini saya disuruh bangun dan pakai baju sendiri. Saya dihantar ke wad balik dengan kerusi roda. Jika di hospital kerajaan, saya ditolak menggunakan katil, hanya berpindah katil tanpa perlu bangun.  Siapa yang sudah ada pengalaman bersalin pasti tahu apa perasaan bila duduk dengan luka yang masih baru. Seram!

Di bilik wad, saya menanti baby saya. Lepas sahaja bersalin tadi, nurse terus masukkan ke katil baby tanpa ditunjukkan pada saya terlebih dahulu. Jantina pun saya tahu melalui suami saya. Jika di hospital kerajaan, baby akan diletakkan diatas dada saya sebaik sahaja baby selamat dilahirkan. Masih terbayang-bayang rasa hangatnya badan baby. Selepas selesai sahaja bersalin baju, biasanya nurse akan letakkan baby disebelah saya untuk disusukan. Namun disini, sehingga ke esok paginya, saya masih tak berjumpa baby saya.

Lebih kurang pukul 9 pagi, doktor datang untuk memeriksa luka saya. Saya bertanyakan baby saya, katanya nanti nurse akan datang hantar baby. Berat baby pun belum ditimbang lagi kata doktor. Agak terkejut dengan penjelasan doktor. Prosedur di hospital kerajaan, sebaik sahaja baby dilahirkan, nurse akan tunjukkan jantina baby dan baby akan ditimbang. Akhirnya pukul 10 pagi, saya dapat berjumpa dengan baby saya. Alhamdulillah, semuanya selamat dan baby juga sihat.

Menurut nurse, saya boleh pulang tengahari nanti. Saya agak tertanya-tanya, tak perlu tunggu baby berak dan kencing dulu ke? Oleh kerana nurse tidak bertanyakan pasal baby, lebih kurang pukul 1 petang, saya terus sahaja bersiap untuk pulang ke rumah. Saya agak kecewa bila nurse maklumkan baby perlu kencing dahulu sedangkan tadi langsung tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Nurse bawa baby saya untuk dikencingkan. Sehingga pukul 4 petang baru la saya dapat pulang ke rumah.

*************************************
Begini rupanya bersalin di swasta. Mungkin saya terlebih mengharap servis yang tiptop menyebabkan saya agak kecewa dengan servis yang diberikan. Mungkin juga kakitangan dan kelengkapannya kurang berbanding di hospital kerajaan. Dan tidak semua hospital swasta begini. Walaupun di hospital yang sama sekali pun mungkin pengalaman berbeza.

Kisah saya bukan mewakili semua hospital swasta ya. Ini hanya pengalaman saya sahaja. Dan saya masih lagi ke hospital itu jika anak-anak sakit. Tetapi untuk bersalin mungkin tidak lagi :).

Jika anda yang merancang bersalin di Shah Alam dan ingin tahu hospital mana yang saya bersalin, boleh hubungi saya :). Saya tidak dedahkan disini kerana hospital itu mempunyai reputasi yang baik. Selalu juga berjumpa artis disitu. Diharap hospital itu akan memperbaiki servisnya dari semasa ke semasa seiring dengan keluasannya yang semakin membesar.

** Dapatkan konsultasi percuma sebelum dan selepas pembelian serta tips pengambilan vitamin khas kepada pelanggan nazuwa.com **

Hubungi kami di admin@nazuwa.com atau SMS/WhatsApp ke 011-1611-2294 (Nazuwa) untuk sebarang pertanyaan / khidmat nasihat / harga. Jom like facebook fanpage Healthy Living untuk tip-tip kesihatan.

Ingin menambah pendapatan secara online hanya dari rumah? Jom sertai kami

Adakah anda suka artikel ini?

4 comments:

  1. saya lebih percaya pada khidmat hospital kerajaan walaupun layanannya bukan tip top tetapi kemudahan yang tip top... perlatan dan doc pakar.. semua anak sy bersalin di hospital kerajaan dan yang bongsu lahir premature jadi kemudahan dan doc pakar yang disediakan mmg tip top...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul! InsyaAllah kalau ada rezeki, anak seterusnya saya pilih hospital kerajaan. Pengalaman yang akan saya ingat sampai bila-bila..

      Delete
  2. Haha nasib awak la tu..😅..bertabah la

    ReplyDelete
  3. Tak sangkanyaaa, sebab expect yang hospital swasta layanan lebih tiptop

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...